KOTA BHARU - Jika dahulu sebut sahaja perpustakaan atau pusat sumber sekolah (PSS), pasti tergambar sebuah bilik yang dipenuhi rak dan buku dan perlu sentiasa senyap, namun seiring perubahan teknologi, PSS kini tidak lagi ‘kaku’ seperti dulu.

Melangkah ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Amalin A’Ishah Putri, Pengkalan Chepa, kita tidak menyangka seluruh sekolah berkenaan adalah PSS Al Humaira.

Baik di luar, di dalam dan di segenap sudut sekolah, terdapat rujukan cepat (Quick Response-QR) iaitu penyediaan kod bar yang membolehkan aplikasi internet dapat dicapai dengan pantas yang akhirnya maklumat terpapar dengan cepat mengenai satu-satu perkara.

Itulah rahsia kemenangan yang menobatkan SMA Tengku Amalin A’Ishah Putri sebagai Johan Anugerah PSS Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2016 yang memberi kepuasan kepada Guru Perpustakaan dan Media, Nor Hanna Zuhairah Mohamad Nordin.

Pelajar berada di dalam salah satu bilik santai PSS Al Humaira.

Imbas kod bar dapatkan informasi

Menurutnya, dua tahun adalah tempoh yang memerlukan kesungguhan semua guru sekolah ini bertungkus-lumus memberi keselesaan kepada pelajar galak membaca, bukan hanya buku, tetapi mereka boleh mendapat capaian internet menerusi telefon pintar.

“Bermula dari tempat pelajar menunggu bas, kami gunakan konsep ‘Every One Can Read’,  iaitu letakkan cerita ringkas dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di dinding.

“Apabila mereka imbas kod bar, secara automatik mereka boleh membaca mengenai fakta informasi berkenaan.

“Ibu bapa juga boleh berbuat demikian sambil menunggu mengambil anak mereka. Di kantin juga, terdapat Sudut Nilam yang memberikan bacaan ringan,” katanya.

Menariknya, kata Nor Hanna Zuhairah lagi, kod bar juga diletakkan di semua jenis pokok yang memudahkan warga sekolah dan pelawat mengetahui mengenai flora yang ada di sekolah berkenaan.

Nor Hanna Zuhairah yang juga guru Bahasa Inggeris  berkata, PSS Abad Ke-21 memerlukan sekolah menggunakan konsep minimalis, kreatif, interaktif, komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

“Konsep yang diminta adalah minimalis, namun kita wujudkan konsep lebih baik iaitu cozy dan minimalis, maknanya ia bukan hanya perpustakaan, sebaliknya pengunjung akan berasa seolah-olah berada di rumah dan lebih santai kerana ada kolam dan ikan.

“Kreatif pula apabila kita mewujudkan bilik dinamakan (self acess learning) atau Bilik SAL yang membolehkan pelajar masuk untuk belajar kendiri, yang mana kita letak origami hasil kerja tangan mereka dan boleh pamer hasil itu di rak bilik berkenaan,” katanya.

Terdapat sudut-sudut lain seperti dinosaur, ruangan astronomi dan kerjaya yang memberi pengetahuan kepada pelajar mengenal sistem solar serta pendedahan kerjaya seorang angkasawan.

“Dengan QR , ia amat memudahkan pencapaian sesuatu maklumat  yang diingini antaranya jenis pokok, sejarah sekolah dan dinding laluan yang membolehkan imbasan kod bar memberikan penerangan mendalam. Akses itu juga menyesuai padan judul dan rak di dalam PSS di sekolah untuk pelajar mendapatkan buku berkaitan.

Nor Hanna Zuhairah menunjukkan cara mengimbas kod bar di sudut laluan sekolah.

Rehat, baca sambil makan di Kafe

Kata Nor Hanna Zuhairah lagi, di dalam PSS ini juga, disediakan bilik kafeteria yang membenarkan pelajar boleh duduk secara santai sambil makan dan minum di ruangan disediakan.

Memandangkan ruang bangunan yang terhad, pihak sekolah mengambil inisiatif di bawah tangga dengan membina konti radio, manakala di bilik alat pandang dengar yang dijadikan studio yang menempatkan 19 inovasi di dalam bilik khas.

“Dalam bilik khas ini diwujudkan tempat Bilik Anti Stres PPDA, Bilik Zikir Assyifa’, Bilik Darul Taqwa Falak Al-Biruni, Galeri Khat Assyakirin, taman terapi warna, bilik kaunseling beraroma, Gim Khaula dan mini inovasi termasuk bilik yang menggunakan arang Al Humaira Eco Scented bagi menyerap bau terutama di tempat menanggalkan kasut.

“Juga terdapat Taman Al Humaira Tera Putik iaitu taman mini yang mempunyai batu refleksologi, ada kolam ikan dengan alunan zikir terapi rehat minda dipasang perlahan-lahan,” katanya.

Perpustakan persis berada di rumah yang santai dan menenangkan.

Adaptasi buku kepada filem

Bagi menggalakkan pelajar tahu proses adaptasi filem seperti Harry Porter (dari cetak ke skrin), pelajar boleh mengetahui mengenainya meminjam video berkenaan dari PSS.

Katanya, PSS sekolah itu satu-satunya perpustakaan 'little free library' yang mendaftar dengan Amerika Syarikat bagi mendapatkan nombor pendaftaran, bermaksud sesiapa sahaja boleh meminjam buku tanpa ada tempoh pinjaman dan peraturan termasuk peminjam luar sekolah.

“Saya amat menghargai kerjasama semua guru di sekolah ini dan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada Pengetua, Zakiah Abdul Kadir.

“Perjuangan dua tahun ini berbaloi apabila kami akhirnya bergelar juara,” katanya.

Warga SMA Tengku Amalina A’Ishah Putri menerima anugerah PSS Cemerlang 2016.


Share To:
Next
Newer Post
Previous
This is the last post.

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours