ERA globalisasi ini, pemantapan sistem pendidikan negara menjadi tonggak utama memajukan negara. Dalam usaha memantapkan sistem pendidikan, kurikulum hendaklah sentiasa dikemas kini agar pengetahuan serta kemahiran mahasiswa seiring keperluan zaman. 

Berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang disesuaikan perkembangan pendidikan di peringkat rendah hingga pengajian tinggi, generasi masa kini dan akan datang perlu dipandu sebagai persiapan diri menempuh era dunia teknologi yang semakin berkembang pesat. Generasi milenia ialah aset negara amat berharga dalam menentukan corak masyarakat dan negara. Mereka sewajarnya dibekalkan kurikulum relevan dan terkehadapan agar pengetahuan serta kemahiran diperoleh mampu mengatasi pelbagai cabaran. 

Dengan merujuk konteks pengajian tinggi, keberhasilan seseorang graduan daripada institut pengajian tinggi (IPT) diukur berdasarkan faktor kebolehpasaran. Semakin cepat dan ramai graduan bekerja, semakin popular dan relevan program akademik ditawarkan. Namun, jika mereka kekal menganggur dalam masa lama dan kuantiti banyak, maka timbul persoalan, apakah wujud jurang antara keperluan pasaran atau industri dengan kualiti program akademik ditawarkan IPT? 

Di negara ini, program akademik di IPT perlu disemak dan diperbaharui supaya memenuhi keperluan industri, masyarakat serta negara. Selari perubahan dunia ke arah Revolusi Industri 4.0 dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21), dunia terarah kepada keadaan menampakkan kecenderungan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan meletakkan lebih banyak unsur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) termasuk penggunaan robot atau sistem automasi. Bagi menjamin kelestarian dan kelangsungan kualiti pendidikan, IPT perlu menggabung unsur manusiawi dan automasi dalam kurikulum supaya tenaga kerja dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. 

Bukan sahaja proses pembelajaran perlu menarik dan menyeronokkan, ia mesti dapat menghasilkan graduan berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Peranan kumpulan penasihat industri penting bagi kelangsungan program akademik. Penasihat industri didefinisikan sebagai pihak dilantik IPT bagi memberikan input, khidmat nasihat dan strategi dalam menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran serta jaringan kerja dengan industri berkenaan. Pengurusan IPT akan membentangkan laporan lengkap berkaitan program ingin disemak termasuk justifikasi semakan kurikulum sedia ada, statistik kelestarian, unjuran, enrolmen, keluaran serta kebolehpasaran pelajar sedia ada dan bergraduan. 

Daripada laporan itu, panel penasihat industri akan memberikan maklum balas selari dengan keperluan dan kehendak semasa pemegang taruh, industri dan agensi berkaitan dengan program masing-masing. Kedua-dua pihak saling bertukar pandangan dan idea secara telus demi kebaikan program, pelajar, industri serta IPT sendiri. Pada era mencabar, input industri akan memperkayakan sudut pandangan berkenaan mempersiapkan sumber tenaga kerja lebih kompeten untuk kepentingan negara dan pembangunan ekonomi. 

Kerjasama erat membolehkan universiti memperoleh buah fikiran daripada pakar bidang di luar universiti terutama daripada kaca mata pengamal. Pengalaman mereka akan membolehkan bakal graduan mengaitkan ilmu dipelajari dalam universiti dengan realiti dunia pekerjaan. Kerjasama melalui perkongsian pintar dalam membina kurikulum berdaya maju dan kompetitif akan mencetuskan impak besar kepada kemajuan industri dan ekonomi serta pembangunan insan lebih holisitik dan seimbang sejajar Anjakan Pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. 

Langkah proaktif dalam menjalin hubungan universiti dan industri berupaya mencapai hasrat 100 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh setahun bergraduan. Dengan mengambil kira pandangan penasihat industri dalam proses semakan kurikulum, ia memberi penghargaan dan kepercayaan besar kepada industri. Justeru, industri akan lebih terbuka bekerjasama dengan universiti dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, penyediaan tempat latihan industri dan penganjuran bengkel latihan kemahiran. 

Tanpa jalinan dengan industri, dikhuatiri kurikulum program akademik tidak selari perkembangan terkini yang boleh membawa kepada keadaan graduan tidak disiap dengan baik untuk menempuh cabaran sebenar selepas memasuki pekerjaan. 

Keberhasilan graduan tentunya menjadi keutamaan tertinggi agar program akademik di IPT kekal lestari dan sentiasa menjadi pilihan utama. 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Share To:

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours