TANGGAL 24 Jun tarikh paling diingati bukan sahaja kepada warga guru, tetapi menjadi sebutan masyarakat susulan pembukaan semula sesi persekolahan selepas sekian lama ditutup akibat pandemik COVID-19. Jika diimbau, cuti penggal pertengahan pertama bermula 13 Mac bagi negeri kumpulan A dan 14 Mac bagi negeri kumpulan B. Ketika itu, ramai guru balik kampung seperti tahun sebelumnya. Mereka balik untuk bercuti, sebelum meneruskan semula khidmat mendidik apabila sekolah kembali dibuka. Tanpa dijangka, amukan COVID-19 membuatkan kerajaan tiada pilihan, selain mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dan kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos nanti. 

Walaupun sekolah ditutup akibat PKP, guru diarah terus mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah. Ia bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran. Pelbagai isu timbul ketika itu. Antaranya, guru balik kampung dan tidak ada material untuk digunakan sebagai bahan pengajaran. Murid pula tiada kesediaan capaian internet atau gajet. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) juga dibatalkan dan TV Pendidikan diperkenalkan semula sebagai medium pengajaran. Ringkasnya, guru menjadi fokus masyarakat kerana PdP murid ketika sekolah ditutup, menjadi agenda utama dalam penilaian masyarakat terhadap warga pendidik ketika itu. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) melihat perlu diadakan kajian berimpak tinggi dan berskala besar berkenaan Persekolahan Berasaskan Pedagogi Penjarakan Sosial Pasca Pandemik COVID-19. 

Kajian sudah dibuat membabitkan tiga fasa utama iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan serta penilaian kebolehgunaan. Sememangnya NUTP berharap dapatan kajian dijadikan asas memulakan sesi persekolahan. Kajian ini membabitkan 10,171 responden dan turut menggunakan 100 responden pakar melalui kaedah Fuzzy Delphi. Seterusnya, penilaian kebolehgunaan dilakukan 2,000 khalayak pendidik membabitkan pengurusan atasan, pelaksana dan pakar terbabit secara langsung dengan pandemik COVID-19. Dapatan kajian bukan sesuatu mengejutkan apabila 93 peratus responden memilih PdP secara bersemuka dan dapat memberikan impak positif kepada murid. Pembelajaran maya bagi mereka tidak memberi kesan besar. Mengapakah guru masih 'takut' kepada pembelajaran secara maya? Selepas diperhalusi, konsep difahami kebanyakan khalayak bagi pembelajaran secara maya ialah guru perlu berada di hadapan komputer ketika pengajaran, begitu juga murid pada masa sama untuk mengikuti pengajaran secara langsung. 

Ketiadaan murid atau bilangan murid yang sedikit dalam talian pada masa pengajaran menjadi petunjuk bahawa proses PdP berkenaan gagal. Itu yang difahami kebanyakan ibu bapa, bahkan guru sendiri. Jangan salahkan guru kerana tidak ada seorang pun daripada mereka pernah dilatih atau diberikan kursus untuk menjadi pendidik ketika pandemik. Guru hanya menjalankan peranan berdasarkan pengetahuan sedia ada dan maklumat lain yang mampu dicapai pada masa terdekat ketika 'perintah berkurung'. Hakikatnya, konteks pembelajaran maya lebih meluas. Melalui kajian NUTP, konsep pembelajaran segerak, pembelajaran tidak segerak dan secara luar talian mula diberi perhatian. Secara asas, pembelajaran segerak berlaku apabila guru dan murid berinteraksi di pelantar pembelajaran sama pada masa sama. Mereka mengambil bahagian dalam kelas melalui alat persidangan web atau pembelajaran segerak secara tidak bersemuka melalui aplikasi dalam talian seperti mesej teks. Pembelajaran juga boleh menggunakan platform panggilan video melalui aplikasi WhatsApp, Skype, Zoom, Google Meet atau aplikasi lain yang mempunyai ciri-ciri panggilan video. 

Antara aktiviti dilakukan guru ialah pembentangan maklumat ketika persidangan video secara satu hala dengan berpusatkan guru. Guru juga boleh mengadakan sumbang saran secara bersemuka dalam talian atau mengemukakan soalan untuk dibincang secara langsung. Tidak berhenti di situ, guru juga dapat berinteraksi secara visual atau grafik menggunakan dinding interaktif maya. Contohnya menggunakan aplikasi padlet. Guru juga boleh menggunakan papan putih menggunakan aplikasi Stormboard, Awwapp dan lain-lain. Itulah konsep pembelajaran maya yang difahami majoriti khalayak, termasuk penulis sebelum ini. Tanpa ada kesediaan gajet dan capaian internet yang laju pada guru dan murid, proses PdP amat sukar atau mustahil dijayakan. Salah rupanya pemahaman itu. 

Sebenarnya, walaupun murid tiada kesediaan dari segi gajet dan capaian internet ketika guru mengadakan sesi pengajaran secara maya, proses pembelajaran maya masih boleh berlaku. Ada lagi ruang untuk murid belajar iaitu melalui kaedah pembelajaran tidak segerak. Dalam bahasa mudah, pendekatan pembelajaran bukan serta-merta pada masa sama. Contohnya, guru menggunakan video pembelajaran melalui platform YouTube, Facebook, EduwebTV, Khan academy atau webinar yang direkod dan murid belajar melalui medium berkenaan. Murid hanya memberikan maklum balas kepada guru apabila mereka ada kesediaan dari segi kemudahan gajet dan capaian internet. Turut perlu diberi pemahaman ialah pembelajaran secara luar talian apabila pembelajaran dilaksanakan tanpa memerlukan jaringan internet. 

Contohnya, guru menggunakan bahan digital melalui cakera padat atau peranti simpanan atau bahan yang dimuat turun ke dalam komputer bagi pembelajaran. Guru memaksimumkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran menerusi penggunaan multimedia, grafik, gambar, visual, video ataupun audio yang tidak menggunakan kaedah secara langsung atau apa-apa kaedah yang memungkinkan peningkatan kos ibu bapa murid untuk membayar data internet. 

 Apa boleh dirumuskan konsep pembelajaran maya pada khalayak perlu dicorak semula selaras maksud dan definisi sebenar supaya tiada salah faham. Pengakhiran kepada salah tanggap ialah diremehkan kaedah pembelajaran maya, sedangkan ia mempunyai lebih daripada satu saluran dan boleh dipelbagaikan mengikut keperluan serta kesediaan semua pihak terbabit. Selaras apa diperkatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui mesej sambutan Hari Guru pada 16 Mei lalu, sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan memulakan langkah awal memberi latihan dan kursus pembelajaran maya kepada warga pendidik. 

Ketepikan dahulu masalah talian internet perlahan di sekolah kerana kita yakin masalah itu akan dapat diselesaikan. Pembukaan semula sekolah pasca COVID-19 semalam menambahkan nilai bagi pembelajaran secara maya. Jadi, guru juga perlu menunjukkan komitmen tinggi ke arah menjayakan agenda baharu negara ini. Sikap alahan kepada aplikasi atau gajet perlu dibuang jauh terutama guru dalam generasi X dan sebelumnya. Kita mahu lihat guru berlumba-lumba menggunakan maya sebagai medium pengajaran. Di pihak ibu bapa, perubahan peranan dalam memastikan anak menerima ilmu amat dituntut. 

Konsep bahawa hanya guru mampu memberikan ilmu dan tugas guru sememangnya mengajar juga perlu dibuang jauh. Sebaliknya, ibu bapa era pacsa COVID-19 perlu menjadi rakan kongsi terbaik kepada pihak sekolah. Bertanya khabar kerja sekolah atau mendapatkan maklumat berkaitan persekolahan daripada anak perlu dijadikan rutin wajib setiap hari. Jika ada lebihan pendapatan, jadikan penyediaan gajet atau data internet sebagai keutamaan dalam kehidupan. 

Ironinya nanti, kita akan dapat melihat kebaikan di sebalik pandemik COVID-19 ini dalam aspek pendidikan. Penulis adalah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP)
Share To:

Cikgu ICT

Post A Comment:

0 comments so far,add yours